Vaksin COVID-19 dan penghidap epilepsi
Vaksin terhadap COVID-19 kini telah diluluskan dan sudah tersedia.
Pada masa ini, tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa penghidap epilepsi (penyakit sawan) mengalami kesan sampingan vaksin COVID-19 pada risiko yang lebih tinggi. Bagi orang yang menghidap epilepsi (penyakit sawan), risiko jangkitan COVID-19 dan komplikasi adalah jauh melebihi risiko kesan sampingan serius daripada vaksin COVID-19. Seperti vaksin lain, penerima vaksin COVID-19 mungkin akan mendapat demam setelah divaksinasi. Demam berpotensi untuk menyebabkan sesetengah pesakit epilepsi lebih cenderung untuk diserang sawan. Ubat demam seperti parasetamol/asetaminofen yang diambil secara berkala selama 48 jam setelah vaksinasi (atau selama mengalami demam), akan mengurangkan risiko ini.
Sebelum anda menerima vaksin COVID-19, pastikan untuk memberitahu petugas kesihatan vaksinasi bahawa anda menghidap epilepsi, serta maklumkan semua maklumat perubatan penting yang lain, seperti:
- Alahan yang dihadapi sebelum ini terhadap sebarang vaksin, ubat atau makanan, terutamanya alahan terhadap sebarang bahan di dalam vaksin.
- Mengalami reaksi alahan sebelum ini terhadap sebarang vaksin (contoh vaksin selesema).
- Berasa tidak sihat dan demam, (jangkitan semasa atau baru selepas).
- Semua ubat yang anda ambil, terutamanya ubat yang mempengaruhi sistem imun (seperti ubat imunomodulator atau imunosupresif), atau anti-koagulan (ubat untuk menghalang pembekuan darah).
- Sekiranya anda hamil atau menyusu, atau merancang untuk hamil.
Seperti mana-mana vaksin, anda tidak boleh menerima vaksin COVID-19 jika anda mempunyai alahan kepada sebarang bahan di dalam vaksin ini. Anda tidak boleh menerima dos kedua jika anda mengalami reaksi alahan atau masalah pernafasan berikutan pemberian dos pertama vaksin COVID-19.
Sekiranya anda sudah mendapat vaksin COVID-19, adalah penting untuk terus memakai pelitup muka, membasuh tangan dengan sabun atau gunakan pembersih tangan, dan menjaga penjarakan fizikal. Vaksin yang ada boleh mengurangkan risiko anda jatuh sakit daripada jangkitan COVID-19 hingga 90% (bergantung kepada jenis vaksin), tetapi penerima vaksin masih boleh menyebarkan jangkitan COVID-19 kepada orang lain tanpa menyedari mereka adalah pembawa virus tidak bergejala.
Maklumat Lanjut
https://www.vaksincovid.gov.my/
http://covid-19.moh.gov.my/vaksin-covid-19
https://sites.google.com/site/malaysiansocietyofepilepsy/covid-19-and-epilepsy
https://epilepsysociety.org.uk/vaccine
https://www.epilepsy.com/learn/covid-19-and-epilepsy/covid-19-vaccination
https://epilepsysociety.org.uk/latest/news/Covid-vaccine-reassurance
https://livingwellwithepilepsy.com/2020/covid-19/covid-19-vaccine-and-epilepsy.html
Subscribe to the ILAE Newsletter
To subscribe, please click on the button below.
Please send me information about ILAE activities and other
information of interest to the epilepsy community